CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Khamis, 18 Disember 2008

Adab Dalam Khilaf Ulamak 6

Namun demikian perbezaan di antara Ikhtilaf dan Khilaf yang dikatakan oleh al-Syatibi itu hanyalah istilah sahaja yang dilihat tidak ada kekuatan sandarannya, kerana para fuqaha’ telah menggunakan al-khilaf dan al-ikhtilaf dengan makna yang sama sahaja iaitu “Sesuatu yang tidak disepakati para fuqaha’ dalam masalah-masalah ijtihad tanpa memandang betul atau salah atau ganjil pendapat yang diperkatakan itu”.10

LARANGAN IKHTILAF DALAM ISLAM

Islam memerintahkan supaya bersatu dan bermuafakat serta melarang berpecah belah dan berselisih pendapat. Dari sini dapat difahami beberapa perkara berikut:

• Pertama : Ikhtilaf adalah sesuatu yang boleh berlaku di kalangan manusia, kerana jika ia mustahil berlaku pasti syara’ tidak akan melarangnya dan tidak menuntut mukallaf meninggalkannya, kerana melarang dari melakukan benda yang mustahil adalah sia-sia.

• Kedua : Apabila ikhtilaf itu sesuatu yang boleh berlaku dan lahir daripada manusia, maka ia juga boleh dicegah dan boleh dihasilkan lawannya iaitu bersatu dan bersepakat, kerana salah satu prinsip syara’ “Tidak ada taklif melainkan terhadap sesuatu yang mampu dilakukannya”, atau “Tiada taklif terhadap sesuatu yang mustahil”.

• Ketiga : Apabila Ikhtilaf itu sesuatu yang dilarang dalam Syariat Islam, maka sudah tentu ia mazmum (dicela). Ini adalah kerana pada dasarnya yang dicela itu dilarang melakukannya.

Sumber Rujukan :

10 Dr. Abd al-Karim Zaidan (1982), “Majmu’ah Buhuth Fiqhiyyah”, hal : 275. Lihat juga Ibn Taymiyyah (1326H), “Majmu’ al-Fatawa”, Matba’ah Kurdistan. Kaherah. jld : 20. hal : 42

Tiada ulasan: